Perjawatan Flait 101 pada asalnya diwujudkan pada 24 April 1959 apabila Jawatankuasa Perjawatan telah meluluskannya melalui Mesyuarat Perjawatan ke-26 dengan kekuatan asalnya seramai 15 orang Pegawai TUDM dan 85 orang Anggota Lain-Lain Pangkat (LLP). Peranan Flait 101 pada ketika itu hanyalah tertumpu kepada pengurusan keselamatan pangkalan seperti mengawal pintu masuk pangkalan. Walau bagaimanapun, pada awal tahun 1988, Flait 101 telah dipindahkan ke TUDM Alor Setar untuk penubuhan Skuadron Udara Universiti (SUU). Skuadron ini ditubuhkan bagi membolehkan siswa-siswa daripada skuadron ini menjalani latihan penerbangan tetapi memandangkan kekurangan pesawat dan juga kekangan kewangan maka fungsi skuadron tersebut telah dihentikan.
Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah mengambil langkah mengubahsuai Pasukan Simpanannya yang asal Flait 101 kepada Pasukan Simpanan Tentera Udara (PSTU) sejajar dengan keputusan Lembaga Menteri pada 6 Oktober 1993 supaya menguatkuasakan Pasukan Simpanan Angkatan Tentera (PSAT). Dengan tertubuhnya PSTU, perkhidmatan TUDM akan menjadi lebih kuat dan mantap kerana PSTU boleh dikerah untuk melaksanakan tugas semasa konflik atau peperangan. Lembaga Menteri telah memutuskan bahawa PSTU ditetapkan dengan nisbah 3 : 1 iaitu 3 Anggota Tetap dan 1 Anggota Simpanan.
Dengan pengubahsuaian PSTU daripada Flait 101 makanya TUDM turut menubuhkan Jabatanarah untuk PSTU di peringkat Markas TUDM secara ‘ad-hoc’ pada 9 Februari 2002 yang bertujuan untuk menangani pelbagai perkara berkaitan dengan PSTU. Keanggotaan JPSTU kini adalah berdasarkan tumpangan dan pinjaman daripada unit-unit lain selain daripada menggunakan perjawatan Flait 101.
OBJEKTIF PSSTUDM
Sebagai unit simpanan, PSTU mempunyai objektif tertentu seperti berikut:
- Untuk menentukan supaya operasi udara TUDM dapat dilaksanakan secara berterusan sewaktu berlaku darurat atau peperangan.
- Untuk mewujudkan kumpulan pekerja yang berkeupayaan dan terlatih dalam penyelenggaraan dan rawatan pesawat TUDM.
- Untuk membantu TUDM dalam memantapkan kemampuannya dalam memenuhi keperluan pertahanan negara.
PERANAN PSSTUDM
Bersesuaian dengan objektif di atas maka tugas yang mampu dilaksanakan oleh PSTU adalah seperti berikut:
- Bersedia untuk diaturgerak dan mengambilalih tanggungjawab Angkatan Tetap TUDM semasa krisis atau darurat.
- Membantu menyelenggara dan merawat pesawat-pesawat TUDM.
- Mengadakan tenaga pengganti kepada Angkatan Tetap TUDM.
- Mengendali dan menyelenggara perkhidmatan penting di dalam TUDM apabila dikehendaki.
PERKEMBANGAN SEMASA
PSTU diwujudkan sejajar dengan Dasar Pertahanan Negara (DPN) di mana segala sumber tenaga manusia serta lain-lain aset negara perlu digembleng secara menyeluruh melalui konsep Total Defence atau Pertahanan Menyeluruh (HANRUH).
Jabatanarah PSTU berperanan di peringkat Markas TUDM di bawah Pengarah Sekretariat untuk melaksanakan tugas staf dan bertanggungjawab terus kepada Timbalan Panglima Tentera Udara (TPTU) melalui Asisten Ketua Staf Tadbir (AKS Tadbir). Jabatanarah PSTU pula diketuai oleh 1 x Pegawai berpangkat Lt Kol TUDM iaitu Pengarah PSTU serta dibantu oleh 2 x Pegawai berpangkat Mej TUDM iaitu PS 2 Tadbir dan PS 2 Sukarela.
Markas PALAPES Udara terdiri daripada Pegawai dan Anggota LLP dari Angkatan Tetap dan juga Kerahan Sepenuh Masa yang ditempatkan di sembilan (9) buah Markas PALAPES Udara di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) seperti berikut :
- Universiti Utara Malaysia (UUM).
- Universiti Sains Malaysia (USM).
- Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.
- Universiti Malaysia Sabah - Kampus Antarabangsa Labuan (UMS-KAL).
- Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
- Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kota Samarahan.
- Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
- Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
- Universiti Malaysia Pahang (UMP).
Buat masa ini JPSTU mempunyai beberapa buah unit di bawah pentadbirannya dan telah dipertanggungjawabkan untuk mengkoordinasi keperluan seperti berikut:
- Pegawai Tauliah Kehormat TUDM.
- Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Udara.
- Pasukan Latihan Angkatan Simpanan (PLAS) Udara.
- Pasukan Simpanan Khusus/ Pakar AIROD.
- Pasukan Kadet Bersatu Malaysia (PKBM) Udara.
PENGURUSAN LATIHAN
Di dalam mempertingkatkan latihan untuk anggota PSSTUDM seperti Pegawai Kadet PALAPES, PLAS dan PSSTUDM AIROD, JPSTU menggunakan buku Panduan Askar Wataniah MM 15.1.1A TD dalam menguruskan Latihan Asas Ketenteraan kepada anggota-anggota sukarela. Antara latihan yang dijalankan adalah seperti Latihan Tempatan, Latihan Berterusan dan Latihan Kem Tahunan.